The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

02 Oktober 2014

Selamat Maju Jaya



Bertahanlah anak-anak didik UPSR. Tinggal satu saja lagi kertas untuk diduduki. Banyakkan berselawat, jangan tinggal ulangkaji, dan ambil masa untuk berehat jika rasa tertekan. OK?

O HAI. Lama tak jumpa. Kebetulan hari ni kursus buat blog. Alang-alang log masuk, kemaskini sikitlah. :D

31 Oktober 2013

Melampau



Apa-apa pun, jika tidak digunakan dengan betul, boleh membawa kepada kerosakan dan bahaya. Sama seperti teknologi. Bila dah terlalu ketagih menggunakannya, boleh membawa kepada perkara-perkara negatif.

Contohnya seorang ibu yang ketagih ber-Facebok sampai terabai anak yang sudah ke tengah jalan, seorang remaja yang ketagih ber-Whatsapp sampai berlaku kemalangan di jalan raya, dan sebagainya.

Teknologi itu bagus, hanya di waktu dan ketikanya yang sesuai. Kadang-kadang, ada masanya tiada teknologi adalah lebih indah, seperti pergaulan dengan ahli keluarga. Adanya teknologi boleh merapuhkan hubungan itu. Datang beraya, semua senyap, semua pakat tengok peranti canggih masing-masing.

Lagi pula jika di kampung ada wireless.


24 Oktober 2013

Bebudak Sekarang!


Sejak kebelakangan ini, menjadi-jadi perangai budak berhingus menayangkan kasih sayang pada khalayak. Aku tak mahu kata rupa tubuh - itu Allah dah tetapkan - tapi aku nak kata rupa akhlak mereka yang sebegini.

Dari mana puncanya, sebenarnya? Ibu bapa? Kawan-kawan? Laman sosial? Media massa? Aku jawab - semuanya itu boleh jadi puncanya. Tolonglah, hentikan sifat keji ini di alam maya - kelak anda akan dikeji di alam akhirat.

Eh? Assalamualaikum. Lama tak bersua! Eheh.

Amar makruf, nahi munkar!



20 Jun 2013

Fullmetal Alchemist seni-kipas (fan-art)







Tak berapa asyik nak kemaskini blog sebulan dua ini (sebulan dua ke? Rasa-rasa dah setengah tahun haha). Nah, terimalah fan-art FMA (Edward Elric dan Winry Rockbell).


19 Disember 2012

[Doodle] Jihad


Jihad itu tak mengenal siapa. Tak mengenal bagaimana.
Sesiapa pun boleh berjihad. Tak kira dengan apa cara sekali pun.

Hatta melawan (baca: mendidik) nafsu juga salah satu jihad.



07 Ogos 2012

DYS #21: Mercun


Sudah masuk 18 Ramadan.
Budak-budak makin berani bermain mercun di hadapan rumah,
makin membuak-buak pembuluh darah!

Sabar, sabar. Ini bulan Ramadan. Bulan ujian kesabaran.

02 Ogos 2012

PDF Lagi!

Minni Lakum-X edisi kedua sudah dimuat-naik. Dapatkan segera!
p/s: tiada yang baharu, sekadar cetusan rasa untuk menggabungkan beberapa entri blog.


Belum baca edisi pertama? Dapatkan sekarang!

15 Julai 2012

DYS #20: Baru




Baru? Apa yang baru?

Antaramuka baharu, hehehe.


baca: murid darjah satu memang selamba begitu, kurang arif dengan penggunaan kata ganti diri.

27 Februari 2012

Pecut!


Sedang membuat pecutan terakhir untuk menyiapkan satu lagi kertas. Beberapa soalan saja lagi. Esok tempoh tamat penghantaran kertas soalan penilaian satu.

Eh? Oh, MAAF! Lama benar tak bersua. Insya-Allah bila lapang nanti kita jumpa lagi. Yosh!

24 Disember 2011

Jurnal Kembara (bhg. 1)

Januari 2001, Pulai Chondong, Kelantan.

Aku jejakkan kaki ke bumi Kelantan lagi. Seingat aku, itu kali keempat. Kali pertama aku datang bersama rombongan KRT Taman Desa Bakti yang membuat lawatan ke sana. Aku seorang-seorang pula tu.

Nasiblah, memang aku ditakdirkan untuk mengembara seorang diri. Hu hu.

Kali kedua bersama Abah, ambil borang. Pergi dengan kawan Abah. Kali ketiga pergi bersama keluarga, duduki peperiksaan kemasukan.

Kali keempat adalah yang paling mendebarkan. Suasana baharu, cabaran baharu, segalanya baharu. Masa itu memang terasa nak menangis sebab tinggalkan Mak Abah. Anak manjalah kononnya ini, haha, ceh!

Alhamdulillah aku sebagai orang baru tak dibuli, malah dilayan dan ditunjuk ajar dengan begitu sempurna oleh senior-senior. Aku memang sangat senyap bila berhadapan dengan suasana baharu. Ambil masa jugalah nak biasakan. Bolehlah aku bahagikan kepada beberapa perkara yang perlu dibiasakan sebagai 'orang luar' untuk belajar di Kelantan.

Pertama, dan yang paling utama, belajar membiasakan diri 'kecek Klate'. Mula-mula nak biasakan diri, rasa pelik pun ada. Sampai perasan seorang senior tersengih bila dengar saya dengan tidak malu menukar perkataan 'kawan' ke dalam loghat Kelantan. Biasanya perkataan yang berakhir dengan -an atau -ang atau -am akan ditukar kepada -é, contohnya makan menjadi maké, pasang menjadi pasé, tilam menjadi tilé.

Masa tu dah tahu perkataan yang lebih tepat ialah 'saeng/saing' bukannya 'kawe'. Rasa nak tampar saja lidah masa itu. Huh.

Kedua ialah mencari rakan yang boleh jadi gu atau rakan berbual. Makhluk pertama yang aku jumpa ialah Aiman Solah - bila jumpa terus cakap fasal Pokemon. Haha, apa nak jadilah kau ini, Mior! Anuar Rashid pun boleh juga, aku selalu pergi bilik beliau nak pinjam buku Reader's Digest.

Ketiga, cuti. Pada awal musim pembelajaran, memang cutilah antara yang aku nantikan. Masa mula-mula memang tak reti langsung menaiki bas ekspres. Terima kasih kepada senior, Ustaz Nasir Razak, aku berjaya juga kembali ke Perak. Yosh!

Masa itu memang bangga sakan. Pertama kali balik sendiri tanpa dibantu Mak atau Abah. Mestilah bangga! Ho ho ho.

Keempat ialah sistem pembelajaran. Haha, aneh kan? Keempat! Iyalah, ini bagi aku, sebab aku orang luar Kelantan. Mungkin orang luar Kelantan yang lain, lain ragamnya. Huh.

Sistem pembelajaran pada masa itu ada dua fasa. Fasa pagi iaitu belajar seperti biasa, lebih kurang dua jam diperuntukkan untuk tasmik, dan selebihnya, hingga pukul 1.30 petang. Rehat dalam pukul 10.30.

Fasa petang pula bermula dalam pukul 2.30 sehingga Asar. Penat, tapi sangat memuaskan hati sebab dapat berdamping lama dengan guru-guru Quran.

Nak naik tahun pula berdasarkan pencapaian tasmik. Kalau tak cukup silibus untuk tahun itu bila menjelangnya akhir tahun, alamat tak naik tahunlah jawabnya. Pencapaian aku? Nak tahu ke? Tak payahlah, malu! Hu hu hu.

Apa yang aku boleh beritahu, aku bukanlah antara yang baik. Baik pun tidak, cemerlang jauh sekalilah kan! Bukan salah guru Quran, Ustaz Amin Yusoff, yang berpenat lelah mendidik dan mendengar aku tasmik. Tapi salah diri aku sendiri yang culas dan malas. Huh.

Tapi alhamdulillah, Allah izinkan aku naik ke tahun dua. Itu pun cukup makan saja. Sebut fasal makan, laparlah pula. Aku nak ceritakan pula peristiwa-peristiwa dan pengalaman aneh di MTAQ, tapi mungkin lepas ini pulalah. Cerita seterusnya tentunya pengembaraan di tahun dua.

Psst. Bukan lapar. Mengantuk sebenarnya. Hehe. Jumpa lagi, dan salam 1433H!



(Bersambung ke Bhg. 2, insya-Allah)




sumber: Jurnal Kembara bahagian 1

03 November 2011

Lagi-lagi Bionik!

 

Baharu mendapat semangat baharu untuk melukis lagi. Lagi-lagi bionik, kan? Tak istiqamah langsung aku ini.

Silalah jangan tiru akhlak buruk ini. Hish!

31 Oktober 2011

30 Hari Seterusnya

Berdebar
Terfikir-fikir apa akan aku jadi selepas sebulan ini. Ini sebulan yang mendebarkan. Sebulan lagi untuk bersiap memikul tanggungjawab besar. Besar, besar, besar.

Peperiksaan
Hari ini peperiksaan akhir tahun Sekolah Rendah Agama Al-Munir Padang Tembak bermula. Pelajaran yang aku ajar mengambil tempat pada hari ini dan esok, jadi dalam tiga hari selebihnya pada minggu ini, aku boleh tumpukan kepada pemeriksaan kertas-kertas jawapan pelajar.

Kurang Sihat 
Kebetulan hari ini aku mula rasa tidak sedap badan. Mungkin sebab mandi hujan malam semalam. Allahussyafi, semoga sakit ini tidak menghalang aku untuk melakukan tugas hamba sehabis baik. Amin.

26 Oktober 2011

Tak Macam Nak Kahwin?

Sedang sibuk mengemaskini data Facebook Sekolah Rendah Al-Munir, aku dikejutkan dengan sapaan seorang rakan di ruang chat.

"Eh! Kau sudah nak kahwin ya?"

"Insya-Allah. Akhir November ini."

Selepas beberapa saat aku menjawab, dia pula menambah. "Tahniah, tahniah. Tapi, aku tak nampak macam kau nak kahwin saja."

Aku angkat kening. Apa maksudnya? "Tak nampak macam nak kahwin? Apa fasal?"

"Iyalah, aku tengok di Facebook tak ada pun gambar-gambar kau dengan tunang kau. Status-status 'abang-sayang' yang biasa orang yang hampir ke alam rumahtangga pun tak pernah aku lihat. Betulkah kau memang nak kahwin ni?"

"Mengapa pula? Betullah. Ini kadnya." Aku membalas sambil memberikan pautan kepada gambar kad jemputan.

"Hm, kau ini pelik."

Pelik? Tidaklah, aku tak berkelakuan pelik. Aku cuma tidak mahu hal-hal peribadi aku ditayangkan di khalayak ramai. Bak kata Abah: benda dalam kain jangan ditayang pada orang. Bukan semua hal berkenaan perasaan perlu ditayangkan, dizahirkan pada umum.

Bahkan, bagi aku, ia boleh jadi suatu yang mengaibkan. Bayangkan rakan anda melihat status gedik anda itu, kemudian menyebarluaskannya sehingga anak-anaknya dapat membacanya juga. Lebih malang bila anak-anak mereka itu murid-murid anda.

Tidakkah malu?

Dalam Islam kita diajar untuk menggunakan setiap anggota badan dengan betul. Betul pada tempatnya. Jari pun anggota badan kita, gunakanlah untuk perkara yang sejajar dengan undang-undang Allah. Bukan pakai taip saja apa yang berlari di fikiran.

Tapi aku tak balas begitu pada rakan tadi. Aku hanya jawab: "Tunang aku tak ada Facebook. Selamat dunia akhirat. Hehe."


Jemputlah datang, ya. Buat macam rumah sendiri,

12 Oktober 2011

NIKAH



Perkahwinan bukan sekadar mahu bersuka-ria semasa hari perkahwinan, bahkan ia merupakan satu pengembaraan yang perlu ditempuh bersama-sama, kelana yang penuh ranjau dan duri, demi mencapai satu matlamat -- redha Yang Esa.
Disalin dari www.facebook.com/hanrikun. 
Insya-Allah kad jemputan akan menyusul selepas entri ini. Nantikan ya.

31 Ogos 2011

Syawal Terbunuh

Hati-hati, kome. Encik Adam sudah bengang.

Aku lihat telatah jiran sebelah. Riang ria mereka bermain bunga api. Jauh di horizon sana kelihatan pula pancutan cahaya ke langit, diikuti bunyi letupan yang tidak kurang bingitnya. Aku kerling jam tangan.

9.14 malam. 29 Ogos 2011. Malam raya. Malam Syawal. Biasalah, aku berbisik. Melayu, kalau tidak ada mercun dan bunga api, memang bukan Melayu namanya. Aku dulu pun sama, kecil-kecil dulu amat gemar bermain bunga api.

Bila sudah dewasa, aku sudah faham apa yang orang tua-tua cakap tentang duit dibakar bila beli mercun atau bunga api atau yang seumpama. Amat merugikan.

Tapi aku ingin tambah satu lagi. Dengan bermain benda-benda seumpama itu, anda sudah jadi pembunuh. Aku tak maksudkan nyawa yang melayang dek bermain meriam buluh atau mercun -- itu memang tak dinafikan. Apa yang aku maksudkan di sini ialah roh Syawal yang kalian bunuh.

Syawal disambut dengan takbir dan tahmid. Bukannya letupan meriam, mercun dan adik-beradik mereka. Tiadalah diperolehi pahala-pahala sunat jika itu yang dilakukannya di malam raya. Masa bertakbir pun singkat -- sampai habis solat sunat eid sahaja.

Bukan susah pun bertakbir. Tapi bila aktiviti yang tidak berfaedah, malah menjadi sebab pembaziran dan membahayakan nyawa pula yang dilaksana, rugilah orang yang dalam Ramadannya, dia setia kepada Tuhannya.

Dan pabila Syawal menjelang, bersama syaitan iblis, mereka tertawa riang.


24 Ogos 2011

Syawal VS Ramadan



"Yeah yeah, esok raya!" Anak jiran di sebelah berteriak. Aku tersengih. Macam itulah aku dulu. Nak dekat raya punyalah bersemangat. Tapi bila Ramadan nak datang, tak hilang cebik di bibir. Tension kerana tak dapat makan di waktu siang.

Dah besar-besar ini terasa macam tak ada seri pula bila Syawal nak bertamu. Sedih pula sukar terkikis mengenangkan Ramadan yang bakal berlalu. Bukan sebab apa, tapi kerana tak sempat buat yang terbaik. Sedih, sedih, sedih; nada Upin Ipin.

Sedih juga melihat senario di Malaysia. Tak sempat sampai 1 Ramadan, sudah galak sambutan menyambut Syawal. Lagu raya dipasang. Kuih raya dibuat.

Bagi aku, benda-benda sebegini sepatutnya tidak menjadi adat atau budaya. Bayangkan, seorang tetamu sudah hadir di rumah kita, tapi kita tidak melayannya bahkan menunjuk-nunjuk persiapan untuk menyambut tetamu yang satu lagi.

Tak biadapkah begitu?

Budaya orang Arab, sambutannya terhadap Ramadan, bukan terhadap Syawal. Tak mengapalah kalau taknak ikut cara mereka sambut Syawal, tapi paling kurang, kita cuba tiru sambutan mereka pabila Ramadan menjelma. Okeh?

02 Ogos 2011

Bisur'ah!


Bisur'ah (بسرعة) secara literalnya bermakna "dengan kepantasan". Bolehlah diterjemahkan kepada "dengan pantas" atau lebih mudah: "cepatlah!".

Kita mahukan semua benda dengan cepat. Nak dapat gaji cepat, nak habis belajar cepat, nak ke suatu destinasi cepat, nak kahwin pun cepat (eh, ada pula? ^_^). Orang kata biar lambat, asal selamat. Aku sanggah. Dunia zaman sekarang, waktu sudah terasa laju. Lambat dan selamat hanya untuk orang dulu-dulu. Sekarang perlu laju dan selamat.

Namun, walau selaju mana sekalipun, jalan terbaik ialah jalan yang terpanjang dan penuh onak dan duri, kerana dugaan dan cabaran itulah yang mematangkan diri. Jangan ambil jalan pintas kerana ia bakal membawa mudarat, walaupun kamu lihat padanya terdapat seribu satu nikmat!