The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

26 Februari 2008

Hari Kekasih, Azhari, dan...?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
(Al-Baqarah: 208)
Imam Al-Baghawi di dalam tafsirnya menyebut sabab nuzulnya ayat di atas; iaitu islamnya seorang ahli kitab Yahudi Bani Nadhir - Abdullah bin Salam dan teman-temannya - yang mana setelah memeluk Islam tetap menganggap hari Sabtu sebagai hari kemuliaan dan tidak mahu menyentuh (memakan) daging unta. Mereka berkata: Wahai Rasulullah, bukankah Taurat itu juga Kitabullah? Izinkan kami membacanya ketika mana kami bersolat malam.
Untuk menjawab, diturunkan ayat di atas kepada baginda Nabi s.a.w.
Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menterjemahkan ayat ini sebagai : "Masuklah ke dalam ketaatan seluruhnya." Manakala Imam At-Thabari membawa tafsiran: "Masuklah ke dalam Islam keseluruhannya."
*Dua perenggan di atas tidak dicopy-paste. Hanya diadaptasi. Harap maklum.
Jadi apa kaitannya dengan tajuk di atas - Hari Kekasih, Azhari dan...?
Saya tidak ingin mengulas panjang tentang Hari Kekasih atau lebih dimaklumi sebagai Valentine's Day. Anda boleh dapatkan maklumat tentangnya di enjin carian Google. Terdapat lambakan informasi tentang hari yang spesifik ini, dari sudut sejarahnya hatta hukum menyambutnya sekalipun.
Bukan mahu mendabik dada, tapi saya baharu saja tahu tentang tarikh sambutan hari tersebut. Ya, 14 Februari. Saya kepingin sangat mahu bertanyakan tentang pandangan rakan-rakan Azhari. Ada yang menjawab mereka tak punya pandangan langsung pun, sebab mereka langsung tidak memandang event ini. Baguslah macam tu, tapi bagaimana pula seorang rakan yang saya lihat pada Friendster-nya dihantar komentar 'Happy Valentine's Day'?
Mungkin rakan kepada rakan saya tersebut yang menyambutnya, tapi bagaimana pula halnya bila rakan saya itu sendiri, bila saya bertanya: "kamu sambut jugakah Hari Kekasih?", dia menjawab: "Iya..." ?
Anda mungkin pernah mendengar lirik lagu artis tanah air: Ramai dah gagal berbuah tangankan mawar Itupun setahun sekali Hanya pada hari kekasih...
Menjadi artis bukanlah lesen untuk menyambut apa yang orang bukan Islam sambut. Kita tangguhkan bicara tentang artis. Ayuh lihat tentang Azhari. Memang saya tak cop di atas kepala semua Azhari, tapi begitu hakikat pada sebahagian yang lain. Mungkin terikut-ikut keadaan remaja di Malaysia. Saat masuknya hari 14 Februari, mereka-mereka yang bercouple mula meliar ke kedai-kedai hadiah, ke kedai bunga. Saya bukan mengarut. Ini adalah fakta dan pengalaman saya bergaul dengan remaja Malaysia. Mereka fikirkan 14 Februari adalah tarikh paling sesuai atau paling romantik untuk mendeklarasi perasaan hati kepada pasangan masing-masing. Alangkah jumudnya pemikiran mereka ini! Bukankah, di dalam Islam, setiap hari adalah hari berkasih sayang? Kenapa perlu menyempitkan daripada 365 hari kepada hanya satu hari? Ke mana perginya baki 364 hari lagi?
Pasti ada yang menjawab: Alah ustaz, sehari tu khusus untuk kami yang bercouple je.
Timbul pula persoalan, adakah wujud sistem couple dalam hukum Islam?
Saya malas menuding jari kepada sesiapa. Cukup sekadar 'siapa makan cili, terasa pedasnya'. Tapi ingat! Anda akan dihitung tentang apa yang telah anda lakukan. Kepedasan saja tidak cukup. Keazaman yang kuat perlu ada supaya tidak lagi memakan cili andai tidak mahu dirasai pedasnya. Ops, saya guna metafora lagi...
"Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun." (Al-Kahfi: 49)
Jika anda tidak berpuas hati dengan semua dalil yang saya utarakan dan apa saja yang telah saya coretkan, saya sedia menerima apa yang ingin anda lontarkan. Insya-Allah saya akan menjawab seadanya.
Namun, jika apa yang saya tulis tidak memadai, perbaikilah saya. Komentar anda amatlah dihargai.

06 Februari 2008

Sorotan Akhir dan Awal Bulan

Kartun

Melukis lagi? Benar. Sebetulnya Han Ri adalah seorang pelukis, bukan penulis. Tapi oleh kerana saya ada sedikit minat pada bidang penulisan, maka tidaklah salah seseorang itu menggelar saya penulis.

Untuk komik PMRAM yang akan diterbitkan tak lama lagi (khabarnya), saya perlu menghantar beberapa muka surat kartun untuk dimuatkan sekali. Selalunya saya tidak bingkas menyiapkan lima muka surat dalam jangka masa yang pendek. Melukis nampak enteng, tetapi jika anda selami kerjaya seorang pelukis, anda akan dapati melukis memerlukan ketekunan yang jitu.

Tetapi kerana saya ada kerja lain yang perlu disiapkan, tanpa disangka saya dapat menghabiskan beberapa muka surat kartun dalam masa dua hari lebih (tidak sampai tiga hari). Apapun, saya dapat rasakan dalam minggu-minggu mendatang, saya tidak akan dapat menumpukan sepenuhnya kepada lukisan kerana kelas-kelas tambahan akan dijalankan dan saya perlu membahagikan masa sebaiknya.

Kenapa Han Ri?

Dalam beberapa minggu lepas, ada antara rakan-rakan saya bertanya mengapa saya memilih nama pena Han Ri. Baik, mungkin sudah tiba masanya saya menerangkan setelah sekian lama tertangguh.

Han Ri bukanlah nama saya. Itu yang jelasnya. Saya sendiri pun tertanya pada awalnya, bagaimana saya mendapat nama ini. Adakah sebahagiannya adalah nama seseorang yang istimewa bagi saya dan sebahagian yang lainnya adalah nama saya sendiri? Boleh jadi ini persepsi anda.

Tidak. Han Ri sebenarnya diambil daripada nama saya dan nama ayah saya sendiri, mior kHAbir zikRI mior ahmad zaiNi. Ambil huruf-huruf yang dibesarkan (capitalized) dan susun semula. Menarik, bukan? Tapi alangkah bagusnya kalau ini adalah realitinya. Haha, gurau saja.

Jangan terkejut. Han sebenarnya adalah tajuk kartun pertama yang saya lukis setibanya saya di Mesir dan telah diterbitkan di dalam Suara Kampus Edisi Kelantan keluaran bernombor 37. Han adalah nama ringkas bagi seorang muslimah Melayu (anda boleh mentafsirkannya seiring selera anda; RaiHANa, HANim, FarHANa, atau apa saja) dan saya fikir Han boleh dijadikan watak tetap di dalam karikatur-karikatur saya dan insya-Allah menjadi model kartun muslimah remaja di zaman sekarang. Tak mustahil suatu hari nanti saya menghimpunkan semua watak tetap dalam cerita-cerita saya dan menjadikan satu cerita panjang lalu dibukukan. Ceh, angan-angan saja tu.

Beralih kepada Ri. Mudah saja. Saya rasa anda sudah dapat mengagak perkataan dua huruf ini berasal dari mana. Iya, tepat. Ia diambil dari (maaf jika penggunaan ‘dari’ dan ‘daripada’ tidak betul) nama ketiga saya, ZikRI. Senang saja, sih.

Ringkasnya, Han adalah nama watak kartun pertama saya di Mesir dan Ri pula mewakili dua huruf terakhir pada nama ketiga saya, digabungkan maka terbitlah Han Ri.

Case closed.

KELAP (Kem Latihan Penulis PMRAM) Kali ke-2 (2 dan 3 Februari 2008)

Usai program hari kedua, petang itu setibanya saya di kamar, mahu saja saya lelapkan mata yang terlalu kuyu. KELAP kali ini memuatkan sesuatu yang belum pernah saya dengari dan ketahui sebahagian besarnya, menyebabkan otak saya sukar untuk berfikir buat seketika dek masuknya maklumat-maklumat mentah yang belum diproses. Ringkasnya, bayangkan anda memasukkan beberapa biji bawang merah yang langsung tidak dikuliti lantas dimasukkan sekonyong-konyongnya ke dalam mesin pengisar. Saya jamin 90% bahawa mesin itu tidak akan berfungsi dengan baik lagi tak lama kemudian.

Cukup dengan metafora. Secara peribadi, bagi saya, program kali ini berjalan baik dan lancar walaupun ada sedikit calarnya. Tak mengapalah. Adat barnamij, tidak ada yang sempurna melainkan ada sedikit terpalit celanya.

Apapun, jauh di dasar kalbu, saya sangat berpuas hati. Banyak teori penulisan dan penerbitan diketengahkan walau dirasakan terlalu banyak pula yang masuk ke dalam benak hingga tidak mampu saya meladeni karya-karya kartun untuk disemak malam itu.

Tahniah kepada PMRAM, tahniah kepada ADABUNA. Terima kasih kepada moderator dan ahli panel yang terlibat, juga buat mentor-mentor saya, Hisyam, Zaki, dan kakanda saya, Sammaituha Najwa. Kalian menyalakan pelita semangat untuk saya terus berkarya. Tanpa kalian, kemungkinan besar saya tidak ada keyakinan untuk menulis lagi sehingga sekarang. Jazakumullahu khairan jazaa’.

04 Januari 2008

Prolog Tahun Ini

Kembali Pulih

Minggu lepas saya mengalami batuk kuat, selesema berpanjangan, dan denyutan kuat di bahagian kepala sehingga hampir mustahil untuk saya berjalan dengan baik. Alhamdulillah, keluarga, insan-insan tersayang, ahli bait, dan rakan-rakan 'maya' tidak putus-putus memberi sokongan moral. Sehingga ada pihak yang me'ngepek' kerana saya begitu cuai, tidak mengambil cakna akan perihal kesihatan sendiri. Jangan bimbang, saya sudah kembali pulih. Cuma terpaksa berhadapan dengan ketidakselesaan hidung yang selalu berair.

Apapun, terima kasih atas perhatian dan sokongan kalian yang prihatin akan keadaan saya di sini.

Projek oh projek...

Dijangka akan berhadapan dengan 2 projek besar di samping 2 projek kecil. Entah bila akan bermula, tidak diketahui. Insya-Allah selewatnya pada awal bulan 2 selepas semua habis imtihan.

01 Januari 2008

Terus Ke Hadapan!

Selamat tahun baru kepada semua.

Bebanan tanggungjawab pada tahun lepas akan menjadi lebih berat tahun ini. Hampir-hampir putus asa, tapi mengenangkan jasa insan-insan tersayang di tanahair, segala hal peribadi diketepikan.

Masa untuk kumpul kekuatan dan bangun semula untuk hadapi cabaran baru!

22 Disember 2007

Komik baru - PROJECT_22

Pada mulanya saya ada berhajat nak terbitkan komik islamik solo dan kartun bersiri yang diberi nama Project_22 akan dimasukkan sekali dalam komik tersebut. Tapi memandangkan baru-baru ini saya mendapat tawaran melukis bersama untuk komik yang akan diterbitkan oleh PMRAM, saya terus tidak jawab 'tidak'. Saya setuju. Lagipun, ada saluran lagi baik. :D

Oh ya, terlupa saya ingin ucapkan. Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh muslimin dan muslimat. Raya pada tahun ini, pihak KPKM telah berjaya merebahkan empat ekor unta.
Yikes! Sejarah barulah kiranya ni. Mengikut kata YDP KPKM, Sohibussamahah Al-Ustaz Adnan bin Wazir, sebelum ini KPKM belum pernah membuat sembelihan sebanyak tahun ini. Alhamdulillah, majlis jamuan yang dibuat pada hari raya kedua, iaitu pada hari seterusnya berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang baik! Chaiyyok lah, KPKM! ;)

Bercakap tentang jamuan, saya baru sahaja pulang dari jamuan Hari Raya yang diadakan di Ma'adi, di rumah Kak Puteri, guru bahasa Inggeris di ARMA. Selesai sahaja menjamu perut, saya dan sahabat, Don Danial, dikejutkan dengan sesuatu. Oleh kerana Don mendapat tempat pertama dan saya kedua pada sesi terakhir Kak Puteri mengajar
conversation english, kami disuruh untuk memberi ucapan di khalayak. Sudahlah cuaca sejuk, bila disuruh berucap dalam bahasa Inggeris di hadapan tetamu... bertambah sejuk tubuh saya jadinya! But it turned out Don sahaja yang memberikan speech. Dada saya urut. My neck is saved! saya menjerit dalam hati. :))

Ala kulli hal, dalam menghadapi tugasan baru yang baru sahaja diterima, saya perlu juga menghadapi tekanan syita. Di malam hari, suhu sering jatuh hingga ke tahap sepuluh darjah celcius. Kadang-kadang bagai nak rak terasa sejuknya. Masakan tidak, berpakaian tiga lapis dan bergulung dalam saratoga pun belum tentu dapat mengelakkan penangan angin malam yang menusuk hingga ke sum-sum!

Alhamdulillah saya sudah dapat menyesuaikan diri dengan cuaca sebegini. Serba-sedikit Mesir mengajar saya menjadi manusia yang lebih matang dan lebih dewasa. Tidak mudah mengeluh dalam ujian-Nya atau menyerah kalah di saat getir yang dilalui saban hari. Insya-Allah saya akan cuba untuk menghadapi ujian-Nya di masa akan datang dengan lebih tabah. Doakan saya!