The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

08 September 2010

Catatan Ramadan II

TETAMU YANG AGUNG

Entah. Saya merasa sayu setiap kali Ramadan mahu meninggalkan umat manusia. Manis, terlalu manis pengalaman berada di bulan Ramadan, lebih-lebih lagi semasa di Mesir. Sesiapa yang pernah merasai bulan Ramadan di Mesir pasti akan berkata: Ramadan di sana dengan di sini (Malaysia) amat berbeza!

Ya, saya akui.

Entah. Saya tidak faham mengapa di sini terlalu banyak keterarahan masyarakatnya pada hari raya. Iklan-iklan di kaca televisyen (termasuk yang menimbulkan kontroversi itu) tak sudah-sudah melaungkan tentang apa yang akan dilakukan di bulan Syawal. Tak hirau langsung pada Ramadan. Langsung tidak hormat pada tetamu agung ini!

Abah kata, "melantak saja 24 jam!". Setiap hari ada saja rancangan-rancangan tentang makanan yang sedap-sedap, tentang bazar-bazar Ramadan. Hairannya, tidak ada pula rancangan-rancangan yang menggalakkan membuat lebih banyak amal di madrasah Ramadan ini. Kalau ada pun (yang saya dapat lihat - tazkirah pendek Bank Muamalat di TV9, kalau tak silap), amat ringkas dan sekejap.

Menuntut ilmu itu wajib. Tazkirah juga salah satu medium menuntut ilmu. Malang sekali majoriti masyarakat kita lebih utamakan nafsu duniawi daripada ilmu ukhrawi, padahal Nabi kita dah berpesan, sesiapa mahukan dunia atau akhirat atau kedua-duanya, perlulah dengan ilmu. Tak hairanlah bila pesan Nabi pun tak dihirau, banyak maksiat tidak dapat dibendung.


RUMAH TERBUKA: PERTAMA DAN TERAKHIR

Saya tidak dapat menafikan kenangan menjayakan rumah terbuka Aidilfitri di Mesir tahun lepas. Ia adalah yang pertama dan terakhir. Hampir tiga tahun berada di sana, tahun lepaslah waktu yang sesuai dibuat rumah terbuka. Bukan apa, tahun-tahun sebelumnya pun memang ada niat untuk buka rumah, tapi akibat berhadapan dengan tingkah-laku tuan rumah yang bermacam-macam (dan memeningkan), terpaksalah KIV.

Berkat kesungguhan dan ketekunan ahli bait - Megat, Tarmizi, Fakhruddin, Anas, Zuhdi, Fikri, Hamdan, dan Zulfaiz, berjaya juga dilaksanakan walau serba kekurangan. Tahun ini mereka di sana, khabarnya, ingin meneruskan lagi tradisi sedemikian. Alhamdulillah, teruskanlah. Mudah-mudahan di sana terdapat ganjaran yang berlipat kali ganda untuk kalian semua!

Preview? Atau sekadar hiasan? :)

26 Ogos 2010

Catatan Ramadan I

Sekadar melepas gian bermain Photoshop. Itukah kebenarannya?

Kepelikan. Umat Melayu memang dari mula-mula saya kenal akan surau/masjid/musolla/seumpama dengannya, sampailah sekarang, tentu sifatnya suka memeriahkan malam-malam awal Ramadan. Sehinggakan pada malam pertama tarawih tempoh hari, saya terpaksa solat di bahagian bawah dek tidak pula menyangka jemaah berkumpul untuk bertarawih sebelum Isya' lagi. Bahagian atas mampat, ditambah lagi yang mengambil tempat di beranda surau. Sungguh meriah, saya bisik.

Tiba pula malam kedua, jemaah mula susut. Kalau susut berat badan macam ini, dalam masa semalaman, tentu bagus!

Sekarang, sampai pula pertengahan Ramadan, hanya sebahagian ruang utama surau terisi. Baki mereka yang memenuhi di awal bulan hari itu, ke mana perginya, Allah saja yang tahu.

Seorang makcik pernah berkata kepada saya, solat yang sempurna itu ialah apabila setiap kali kita bersolat, kita rasai kemanisannya. Benar. Mungkin juga manusia yang tidak menjaga solatnya tidak dapat merasai kemanisan tersebut. Na'uzubillah.

Menteri Besar Perak, DS Nizar yang singgah ke surau berdekatan dengan rumah tempoh hari berpesan supaya kita tidak 'bermain kayu tiga' dengan Allah di bulan Ramadan. Masa bulan ini, bukan main kuat ibadat dilaksanakan. Tiba Syawal, Subuh entah ke mana, Zohor entah ke mana.

Beliau juga menyatakan kehairanannya mengapa manusia mengambil berat yang bersangatan pada puasa, tetapi tidak pada solat. Orang tua, orang sakit, si musafir, dan yang sewaktu, yang berpuasa, dibolehkan meninggalkan puasa (berbuka) - tetapi perlu qadha atau bayar fidyah selepasnya. Akan tetapi, orang tua, orang sakit, si musafir, dan yang sewaktu tidak dibenarkan untuk meninggalkan solat dalam keadaan bagaimana sekali pun.

Senario sebaliknya berlaku di sini. Yang diberikan kelonggaran diutamakan, yang tiada kelonggaran diabaikan. Memanglah kedua-duanya rukun Islam, tetapi solat mengatasi puasa dalam susunan rukun, bukan? Bahkan perkara yang mula-mula disoal di akhirat ialah solat - bukannya puasa.

Namun masyarakat kita tetap mengutamakan puasa. Ya, kita berpuasa, tetapi solat bagaimana?

Mari, kita muhasabah sendiri. Koreksi diri, perbetulkan hati. Andaikanlah ini Ramadan terakhir. Tentu sekali kita mahu jadikannya Ramadan terbaik!

23 Ogos 2010

Merdekakah?

Mungkin kemerdekaan daripada penjajah zahiriah sudah dicapai pada tahun 1957. Tapi dari segi fikrah, ia suatu yang mustahil untuk dikatakan sudah tercapai. Masakan tidak, pemimpin negara bersekongkol dengan seteru dalam satu selimut, tidak mahu amalkan undang-undang Islam, dan macam-macam lagilah.

Kalau kamu pening dengan kes-kes yang berlaku di sekitarmu, tanyalah kerajaan - mengapa mereka tidak melaksanakan Islam secara menyeluruh.

Islam itu penyelamat. Macam bomba yang menyelamatkan orang yang terperangkap dalam kebakaran. Kalau tidak ditelefon bomba, masakan pula orang itu boleh diselamatkan? Nah, yang dipanggil untuk misi menyelamat pula ialah si penjual ais kacang. Tak kena gaya, dua-dua temui ajal.

Tolonglah jangan pening dengan analogi ini ya. :D


01 Ogos 2010

Semangat


Orang kata semangat ini serupa biskut. Sekejap kita nampak depan mata kita, atas piring. Beberapa saat selepasnya sudah sampai ke perut. Semangat itu boleh naik, boleh turun. Boleh jadi ia melayang setinggi awanan, boleh jadi ia menjunam jauh ke dasar lautan.

Apa yang menjadi masalah ialah bagaimana ia perlu distabilkan.

Tangan sakit juga menjadi sebab lunturnya semangat.
Kita perlukan semangat untuk melakukan sesuatu kerja. Tidak bererti dengan ketiadaan semangat, kerja tidak boleh dilakukan. Tentu sekali bila semangat tiada, kualiti kerja tidak se-HD* sewaktu semangat ada. Guru yang tiada semangat akan mudah tertekan - natijahnya senang naik angin dan akhirnya murid juga menjadi mangsa. Pelukis yang tiada semangat akan mudah hilang konsentrasi untuk melukis seraya meninggalkan lukisan, yang baharu tidak sampai separa siap, begitu saja - natijahnya karya tidak dapat dihantar pada waktu yang ditetapkan. Desainer yang tiada semangat akan jadi tipis kualiti desainnya, justeru, bila dihantar kepada editor, hasilnya akan ditolak - natijahnya dia akan rasa seperti mahu berhenti kerja.

Jadi, bagaimana cara untuk menjadikan semangat terus konsisten?

Sebenarnya ini adalah salah satu penyakit hati. Bila hati tidak tenang dan bercelaru, fikiran akan ikut sama meronta, berselirat. Masalah pula banyak, hendaknya pula diselesaikan semua sekaligus kerana masa sudah singkat.

Benar, mengurus masa itu penting. Sedar atau tak, semua ini bermula dengan diri sendiri. Bila pengurusan waktu itu cekap, tentu ini semua tidak terjadi. Pastinya dengan izin Ilahi, bukan kehendak sendiri.

Jadi, bacalah al-Quran, nescaya tenanglah hati.



(Perlukah berdoa untuk dikirimkan seorang isteri agar diri ini tahu erti konsistensi? Huu...)

__________
*HD - High Definition (definisi tinggi atau kualiti tinggi)