The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

22 Jun 2011

Mahu Berjaya!








Kemaskini: wallpaper di atas boleh didapatkan di laman web iluvislam.com.

SIAPA MAHU?

Siapa tak mahu berjaya? Semua mahu berjaya. Yang kecil, yang besar, semuanya mahu kejayaan. Hatta ayam di reban pun mahu berjaya. Tak percaya?


BERJAYA UNTUK APA?

Sebagai seekor haiwan, seekor ayam tentulah mahu berjaya untuk makan. Kejayaan seekor ayam mendapatkan seekor cacing didorong oleh nafsunya untuk makan. Malah, berkat kesungguhannya, seekor ayam juga mampu mendapatkan seekor ulat daun yang gebu.

Sebagai sebaik-baik kejadian, kita, manusia, tentulah mahu berjaya. Berjaya apa? 

Berjaya dapatkan keputusan cemerlang, berjaya dapatkan lesen menunggang motorsikal atau memandu kereta, berjaya dalam perniagaan, berjaya kahwin (^___^), dan macam-macam lagilah kejayaan yang manusia mahu kecapi.


DORONGAN KEJAYAAN

Si ayam dalam analogi di atas didorong oleh nafsu untuk berjaya. Berbeza dengan manusia, dorongan yang dimiliki oleh setiap orang adalah berbeza. 

Sebagai contoh, Abu dan Ali akan menduduki peperiksaan yang sama, di sekolah yang sama. Tetapi yang membezakan mereka ialah dorongan. Abu didorong oleh janji ayahnya yang mahu membelikan iPad 2.0 jika dia dapat keputusan cemerlang, manakala Ali didorong oleh keazamannya mengubah keadaan hidup keluarganya yang miskin.

Namun bagi kita umat Islam, adalah selayaknya dorongan kita itu pertama-tamanya Allah dan Rasul-Nya. Kerana kita diam di dunia ini kerana Allah. Allah ciptakan kita untuk kita mengabdikan diri kepada-Nya. Allah memberikan kita segalanya yang kita kecapi sehingga sekarang.

Maka, kejayaan yang didorong rasa syukur atas kurniaan Allah itulah yang lebih utama.

07 Jun 2011

Pertunangan Itu Tiket

Gambar sekadar hiasan juga hehehe.


TIKET KE MANA?

Ada manusia yang kurang reti bahasa, tidak faham apa itu pertunangan. Mereka anggap selepas bertunang, boleh angkut pasangan ke sana sini, pegang sana sini, sentuh sana sini. Oh, amat salah persepsi mereka tentang pertunangan itu! 

Bertunang bukannya tiket untuk buat begitu. Kalau buat juga jadi maksiatlah. Maksiat ini dosa. Nak elak dari dapat dosa, usah buat benda sebegitu. Kalau nak buat juga, nikahlah dulu!


TIKET DOSA

Amat malang bila ada dalam kalangan ibu bapa yang merasakan bertunang (atau khitbah) itu 'separa kahwin'. Boleh buat apa yang orang sudah kahwin boleh buat. Malang lagi bila ada yang 'termengandung' sebelum nikah. Tak fasal-fasal dua ibu bapa dapat malu. Ha, kan?

Bertunang tak perlulah lama-lama. Bila sudah mampu, teruskan niat suci dengan bernikah. Anda tanya, kalau tak mampu? Aku jawab, yang kau menggatal nak bertunang tu apa fasal? Hehe.


NAK TUNANG ATAU TIDAK?

Terpulanglah. Tapi anda kena ingat, pertunangan belum menghalalkan hubungan antara lelaki dan perempuan. Pertunangan tidak menjadikan anda valid berpegangan tangan, berdua-duaan. Masyarakat kita sudah cukup tercemar dengan golongan Islam yang tidak mahukan Islam. Janganlah anda turut sama jadi pencemarnya.

Kalau sudah tidak tahan, nak berdua-duaan juga, nikahlah terus. Itu lebih baik.



"Amalkan Islam sepenuhnya. Anda mampu mengubahnya."

02 Jun 2011

Aku Anak Polis

Gambar sekadar hiasan. Hohoho.


ANAK POLIS?

Aku bukan lagi anak seorang pegawai polis. Correzione, aku anak seorang bekas pegawai polis. Bekas sarjan setepatnya. Dan selayaknya kehidupan aku sejak kecil amat ketat dan sendat. Jangan fikir aku berpakaian sebegitu, tidak. Abah memang menitikberatkan soal agama dalam kehidupan seharian. Anak polislah katakan.

Aku tabik pada Abah. Dia bukanlah orang yang berpelajaran agama. Sekolah rendah dulu pun pakai seluar pendek, katanya. Sekolah kerajaan, biasalah begitu. Abah pernah ceritakan, semasa kecil, dia ada hajat mahu sambung pelajaran di sekolah agama berasrama penuh. Sekolah Izzuddin di Ipoh. Tapi dek kesesakan ekonomi keluarga, hajatnya terkubur begitu sahaja.

Tapi selepas Abah kahwin, Abah korek semula hajat itu, mula menyemai benihnya dan disuburkan pada anak-anaknya. Dengan izin Allah, kami empat orang adik-beradik semuanya telah dihantar ke sekolah-sekolah agama dan berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang agama. Kedua-dua adik aku produk tadika Islam PASTI; Khalis sekarang di darjah enam Sekolah Rendah Al-Munir; Zaim di Maahad Mizan. Abang sulung aku Zarkasyi pernah berada di Maahad Al-Islah, tapi telah berubah angin mengambil bidang sains tulen.

Abang aku yang seorang itu sahaja yang lebih berminat dalam bidang profesional.


POLIS BENCI POLIS

Abah seorang yang tegas dan berpendirian. Dia bersara awal. Alasannya, tidak tahan dengan dosa. Katanya, tidak boleh tidak, rasuah mesti ada dalam polis. Tentu ada. Dia sudah tidak suka dijadikan alat kerajaan. Diperalatkan untuk menyelamatkan mereka yang punya kepentingan. Asalkan ada fulus, semua beres. Asalkan ada fulus, mata ditutup. Mereka yang tidak ada, nasiblah. Kata polis, "Tegas, Adil, dan Berhemah". Benarkah begitu, atau adakah mereka sekadar melepas batuk di tangga?

Abah kata dia suka tonton cerita-cerita polis asalkan bukan cerita polis Malaysia. Sebabnya? Polis Malaysia selalunya ceritanya diarah oleh Yusuf Haslam. Cerita Yusuf Haslam polisnya semua baik-baik. Tak ada pun yang korup. Ceritanya langsung tidak menggambarkan realiti sebenar dalam polis. 

Biasalah, cerita Melayu. Tipikal!


SALAHKAH KERJA POLIS?

Salah? Tidaklah, mana salah. Aku tak kisah kalau kamu nak jadi polis. Jadilah. Buatlah apa kamu nak buat. Kemudian kamu tanya - what's the catch? Aku jawab, there is no catch. 

Kau nak jadi polis kau tanggunglah apa yang kau kena tanggung, jangan bebankan tanggungan tu pada orang lain. Kau dapat pahala sebab tolong orang, alhamdulillah, pahalanya insya-Allah akan berganda. Kau dapat dosa sebab makan duit rasuah, kau sendirilah yang tanggung dosa tersebut. Jangan pandai-pandai nak tarik aku masuk ke dalam dosa kau itu ya. 

Dan kalau kau pegawai polis mahu belanja aku makan, tak usahlah. Baik aku saja yang belanja kau. Insya-Allah halalan toyyiba. =)


25 Mei 2011

Jangan Lepas!

Percubaan mengasah kembali kebolehan melukis, manalah tahu entah-entah sebab dah lama tak sentuh pensel untuk melukis, jadi kekok.

Malam ini terasa hilang semangat mahu semak kertas murid kerana sedap dan asyik bila bermain Photoshop. Huhu.


Peperiksaan Itu Bosan...

...bagi guru-guru. Mengapa? Sebab masuk dalam bilik darjah bukan boleh berkomunikasi sangat pun dengan murid-murid.

Bila masuk, edarkan kertas soalan, semak kertas soalan kelas sendiri, layan murid-murid yang gatal-gatal mengangkat tangan bertanyakan soalan yang agak kurang relevan, duduk semula, sambung semak kertas soalan - dan bila habis masa, keluar kelas, masuk kembali ke bilik guru, dan sambung lagi semak kertas soalan. Bila giliran tiba, keluar kembali dan masuk ke bilik darjah yang lain (atau yang sama, tapi berlainan mata pelajaran). Proses ini berulang-ulang sebanyak dua kali setiap hari dalam minggu ini.

Betul-betul bosan.

Aku sekarang sedang bergelut dengan enam set kertas peperiksaan dari enam kelas yang aku ajar. Perlu usaha dan habiskan minggu ini juga jika mahu menikmati masa cuti sekolah dua minggu dengan sepuasnya. Sebenarnya ada agenda besar dalam musim cuti ini. Mungkin sebab itu aku terasa lebih bersemangat mahu habiskan semakan kertas peperiksaan secepat mungkin. Sebab selalunya, beberapa hari sebelum deadline key-in markah, baharu aku mahu semak kertas. Haha! Pemalas sebenarnya kau ini, Han Ri!

Oh, sudahkah dinyatakan aku dilantik jadi AJK Pemuda Pas Kawasan Teluk Intan? Bebanan bertambah, nampak gayanya. Masa untuk mengemaskini masa supaya tidak tertinggal dan sentiasa terkehadapan. Lagi-lagilah Lajnah ICT merangkap Lajnah Penerangan dan Dakwah. Perlu sentiasa memenangi isu - satu perkara yang lazimnya jadi kelemahan aku. Haish!

Apa pun, aku minta maaf kalau-kalaulah ada pembaca blog ini yang berasa tidak senang dengan coretan kali ini. Lebih kepada luahan kepada kalian (sebab banyak sangat perkara yang berlaku dalam otak, hehe).

Masa pun kurang untuk berblog kebelakangan ini. Alasannya? Memang banyak yang relevan untuk aku jadikan alasan, tapi cukuplah sekadar aku katakan aku tidak sempat. Fikiran pun sedang pening kerana telah terlajak kata mahu hadiahi 10 orang terbaik dalam setiap enam kelas yang aku ajar. 6 kelas x 10 orang = 60 hadiah!

Hahaha, terbaikkk!